Monday, February 9, 2009

Kekuatan rasional vs kekuatan emosi

Mengapa lelaki jadi ketua keluarga?
Mengapa hak talak diberi kepada lelaki?
Kenapa Allah mentakdirkan wanita yang mengandung, bukan lelaki?
Mengapa wanita boleh menyusukan anaknya, sedangkan lelaki tidak?

Kadang-kadang persoalan ini timbul dalam hati manusia. Pelik bukan? Terkadang kita merasa tidak adilnya ciptaan Allah ini. Tidak adilnya takdir Allah ini. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Bijaksana. Betapa tidak bersyukurnya manusia.

Apabila Allah SWT mencipta Adam itu, Allah sudah mengatur ketetapan bagi Adam. Allah ciptakan Hawa untuk Adam. Allah sudah aturkan yang Adam akan turun ke dunia sebagai khalifah di muka bumi. Dan ketika itu juga Allah sudah tahu bahawa persoalan-persoalan ini akan timbul.

Sesungguhnya pada diri setiap manusia itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Allah SWT yang Maha Bijaksana telah kurniakan dua kekuatan yang berlainan kepada lelaki dan wanita; iaitu kekuatan rasional dan kekuatan emosi.


Kekuatan rasional vs kekuatan emosi

Mengapa ye perempuan yang kena mengandung, bukan lelaki? Yalah, lelaki itu pada amnya mempunyai kekuatan fizikal yang lebih dari wanita. Wanita ini katanya kaum yang lemah. Adakah Allah tidak bersimpati terhadap golongan yang lemah ini? Cuba kita renung sejenak. Andainyalah, lelaki yang mengandung. Penulis rasa sampai 3 bulan saja boleh bertahan. Kemudian mulalah mencarut tentang perutnya. Alasannya tidak tahan dengan beban tersebut. Loyanya lagi.

Sebab apa ini terjadi? Sebabnya, kekuatan yang diperlukan untuk bertahan selama 9 bulan 10 hari itu, bukanlah kekuatan fizikal. Justeru kekuatan apa yang diperlukan? Inilah yang dinamakan kekuatan emosi. Yang hanya ada pada wanita. Wanita ini Allah kurniakan dengan sifat sabar, kasih sayang dan sebagainya. Kerana itulah wanita mampu bertahan 9 bulan 10 hari mengusung kandungan bersamanya. Kerana itu jugalah Allah jadikan wanita yang mengandung, yang melahirkan anak.

Tapi Allah tidak tinggalkan wanita begitu saja. Allah berikan lagi ganjaran ke atas kesanggupan wanita yang mengandung dan melahirkan. Semasa mengandung, setiap sakit yang dirasai, terhapus dosa kecil ke atasnya. Semasa melahirkan, setiap sakit itu menghapuskan pula dosa besar. Yang paling mulia, wanita mendapat syahid sekiranya meninggal dunia sewaktu melahirkan anak.

Lalu, apa itu kekuatan rasional? Ustaz Hasrizal, dalam slot semasa BDK 09 baru-baru ini, katanya, bayangkan pada suatu hari, dia dikehendaki memberi pengisian tentang Keluarga Bahagia. Tapi sebelum ke program itu, dia ada terguris hati apabila bertentangan pendapat dengan zaujahnya, Ummu Saif. Secara logiknya, bagaimana beliau hendak menerangkan tentang keluarga bahagia sekiranya beliau sendiri ada masalah dengan keluarganya. Nah, inilah perlunya kekuatan rasional. Jika beliau rasional, beliau mampu menyampaikan pengisian dengan baik tanpa terpengaruh dengan masalah keluarganya.

Begitu juga dengan hak talak pada lelaki. Kerana lelaki sukar dipengaruhi oleh emosi. Jadi, talak memerlukan pemikiran yang benar-benar rasional. Bayangkan kalau wanita boleh talakkan suaminya. Rasanya, meningkatlah kes cerai di Malaysia ini. Pening kepala pegawai agama jadinya.

Lelaki = 9 kekuatan rasional + 1 kekuatan emosi
Wanita = 9 kekuatan emosi + 1 kekuatan rasional

Siapa lagi kuat?

Lelaki + wanita = saling melengkapi antara satu sama lain.


Ibaratnya kalau kepingan puzzle itu tidak lengkap kalau salah satu darinya hilang. Nak jadi gambar apa jikalau begitu rupa.

No comments: