Pagi itu riuh dengan kicauan si burung pagi. Mentari malu-malu menampakkan diri, menyebabkan cuaca agak mendung. Tiada kelibat manusia yang kelam kabut untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Semuanya tenang. Sesekali terdengar deruman enjin lori sampah yang menjalankan tugasnya. Pagi begini memang sudah menjadi lumrah hujung minggu. Suasana sejuk lantaran hujan yang turun sehingga awal pagi tadi menyebabkan seluruh tubuh badan menjadi malas.
Yasser masih di atas katilnya. Masih berselubung dalam selimut bagai hantu bungkus. Walaupun sudah tersedar dari tidur, Yasser masih tidak berganjak dari atas katilnya. Aktiviti semalam sungguh memenatkan. Pertelagahan antara Street 69 dan Rimau Putih untuk merebut kawasan sudah menjadi masalah serius.
Dia teringat bagaimana pergaduhan itu boleh bermula. Ketika itu semua ahli Street 69 sedang berkumpul di Restoran Tupai. Tiba-tiba mereka didatangi ahli kumpulan Rimau Putih. Ketuanya, Mael siap bercekak pinggang di hadapannya.
“Woi, keparat. Kau jangan main anjing dengan aku. Orang kau kacau bisnes aku. Kau nak aku sumbat mulut orang kau dengan tahi anjing ke?” Tangannya memegang buku lima besi. Mukanya yang kelihatan begitu berang.
“Wow, wow. Ada orang obses dengan anjing di sini. Hai saudara, kalau nak main dengan anjing, pergi main jauh. Najis berat tu. Kena samak nanti.” Kata-kata Yasser disambut dengan derai tawa ahli-ahlinya. “Kau takpelah. Dah jadi saudara mara anjing. Tak kena samak.”
Pertengkaran mulut itu akhirnya membawa kepada pergaduhan. Yasser yang ketika itu memegang botol arak, menjadikannnya sebagai senjata. Dalam keadaan marah yang memuncak, semua fikiran sudah tidak waras. Syaitan pun mencucuk-cucuk lagi. Entah bila masa, Yasser sendiri pun tidak perasan, botol arak yang digunakannya sebagai senjata telah tertikam perut Mael.
Yasser yang telah hilang kawalan itu sendiri tergamam dengan tindakannya. Tanpa membuang masa, mereka semua melarikan diri mengikut pintu belakang. Ahli Rimau Putih kelam kabut untuk menyelamatkan nyawa ketua mereka.
Yasser sendiri tidak tahu bagaimana nasib ketua kumpulan Rimau Putih. Sudah matikah dia. Lamunan Yasser dikejutkan oleh bunyi ketukan pintu.
“Assalamualaikum.” Pintu rumah itu diketuk beberapa kali.
“Assalamualaikum.” Kali ini lebih kuat.
Berkeriuk bunyi pintu rumah apabila dibuka. “Hmm, ada apa datang tengah hari ni,” tanya Yasser sambil memandang dua orang pemuda di hadapannya. Digonyoh kedua matanya dengan tangan.
“Encik ni, Yasser Salam bin Datuk Kamal Asri ke?” tanya pemuda yang memakai baju t berwarna hijau. Di tangannya memegang sekeping fail berwarna coklat.
“Yasser tu aku. Tapi Datuk Kamal Asri dah tak jadi bapak aku,” jawab Yasser, kasar. Sebenarnya dia tidak suka apabila nama Datuk Kamal Asri disebut. Meluat dan menyampah dengan nama itu.
“Begini encik Yasser. Saya Ins. Jalal dari Balai Polis Simpang,” terang pemuda tadi. “Dan ini anak buah saya Lans Kop. Rosli. Ini kad kuasa kami,” sambungnya lagi sambil mengunjukkan ibu jari ke arah pemuda yang memakai kemeja t berwarna merah. Misainya yang tebal dan melentik ke atas membuatkan dia kelihatan agak tua.
Reaksi Yasser serta merta berubah apabila terdengar perkataan Ins. dan Lans Kop. Raut wajah yang tadinya selamba bertukar. Dia cuba mengawal dirinya supaya tindak balas dirinya tidak dikesan.
“Ada apa datang sini?”. Yasser berdehem beberapa kali.
“Kami datang untuk memaklumkan tentang kematian Datuk Kamal Asri semasa mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Sebelum Datuk berangkat ke sana, Datuk berpesan supaya encik Yasser mesti ditemui dalam apa cara sekalipun,” terang Lans Kop Rosli.
“Sebelum ini, Datuk Kamal Asri tidak pernah hentikan usaha untuk mencari encik Yasser sehingga terpaksa mengupah penyiasat persendirian. Malangnya, nasib tidak menyebelahi Datuk. Kami dapat maklumat tentang encik Yasser ini pun, setelah mengumpul data hasil siasatan penyiasat persendirian Datuk.”
“Sebenarnya begini. Saya dan Datuk Kamal Asri dah tiada hubungan. Jadi, kalau ada apa-apa berlaku pada dia, saya tak mahu masuk campur.” Jauh di lubuk hati Yasser, dia merasa lega kerana polis yang datang ke rumahnya pagi itu bukan kerana kes semalam.
“Beginilah encik Yasser. Kami diamanahkan untuk member fail ini kepada encik. Kalau ada masalah selepas ini, boleh terus menghubungi kami.” Ins. Jalal lantas menyerahkan fail berwarna coklat itu yang dipegangnya sejak dari tadi. “Baiklah, kami beransur dulu.” Ins. Jalal dan Lans Kop Rosli terus meminta diri.
Yasser mengekori bayangan mereka dengan matanya. Dia masih terpinga-pinga. Seribu persoalan menerjah kotak fikirannya. Lantas, matanya tertancap pada fail berwarna coklat itu. Hatinya tak sabar-sabar untuk mengetahui isi kandungan fail itu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Lagu R.A.D.I.O nyanyian System of a Down yang diset sebagai ringtone bagai menjerit-jerit menyuruhnya menjawab panggilan itu. Diletakkan fail itu di atas meja makan lalu bergegas untuk menjawab panggilan telefon. (bersambung...)
No comments:
Post a Comment