Thursday, February 26, 2009

Minda roti canai

26/2/09 - 1 Rabiulawal 1430- genap umur penulis mencapai 22 tahun dalam kiraan Islam.

Tahun hijrah. Hari jadi. Ulangtahun kelahiran dalam tahun hijrah. Pernah kita ambil tahu tarikh hari jadi kita dalam tahun Islam? Atau kita hanya ingat bulan Masihi saja?

Januari

Februari

Mac

April

May

Jun

Julai

Ogos

September

Oktober

November

Disember

Sampai tergeliat lidah nak menyebut. Tapi tetap kita agungkan juga. Sebab kita dilahirkan pun, tarikh dalam Masihi yang direkodkan. Memang dari kecil, sejak bayi lagi kita dibiasakan dengan perkara-perkara non-Islamik. Angkara kuffar laknatullah yang telah mencanaikan pemikiran orang Islam. Hasilnya, otak dan akal fikiran umat Islam seperti roti canai yang belum dimasak. Lembut. Boleh buat pelbagai bentuk ikut acuan. Dilenyek. Ditebar. Macam-macam gayalah lagi. (Nak tengok, pergi kedai roti canai pagi-pagi.)

Contoh yang paling dekat. Orang Islam sendiri, bangun 7.45 pagi. Siap-siap mandi, gerak ke kelas. Subuh bagaimana? Tak penting. Kelas lagi penting. Orang tak pergi kelas (tapi solat Subuh) dianggap teruk dari orang yang pergi kelas (tak solat Subuh). Pemikiran manusia. Eh, silap. Pemikiran roti canai. Dibentuk mengikut acuan zionis, si penebar roti canai.

Sebenarnya akal kita lebih teruk dari roti canai. Sekurang-kurangnya roti canai bila dah dimasak, boleh juga beri manfaat. Otak roti canai kita, dibuat main-main. Kesudahannya lembik macam tu saja. Orang Perak kata benyor. Udah benyor pale otak kite ni weh.


Tak rasa nak membangun ke? Tarbiyah diri. Jasadiyyah. Ruhiyyah. Bangunlah sahabat. Bangunlah saudara. Bila lagi kita nak berubah. Akal kita dah matang, berupaya fikir sendiri. Bak kata Nabil Raja Lawak, "Lu pikir la sendiri."

Ya, fikirlah sendiri. Kita rasa kita mampu masuk syurga ke? Dengan gelaran Islam yang kita pegang sekarang, kalau solat pun jarang-jarang. Puasa pun kadang-kadang. Jangan yakin sangat sahabat. Saat sakaratul maut tu tiba, boleh tahan ke iman kita sampai nyawa keluar dari halkum. Syaitan berbondong datang. Aku bapamu, ikutlah aku dalam Kristian. Aku ibumu, masuk dalam Yahudi, agama benar. Masa itu, yang tentukan kita masuk syurga ke tak, iman kita saja. Cukup kuat, cukup lekat, insyaAllah terlepas godaan tu. Kalau iman macam roti canai saja, minta banyak-banyak perlindungan supaya terlepas.

Saya berpesan untuk diri dan sahabat jua. Nanti bila di akhirat terlepas tanggungjawab. Saya sudah sampaikan pesanan ini. Pada diri, pada keluarga, pada sahabat.

Masa untuk berubah.



Mutiara kata:
Apa yang baik, belum tentu benar. Apa yang benar, belum tentu baik. Apa yang bagus, belum tentu berharga. Apa yang berharga atau berguna, belum tentu bagus.

Sunday, February 22, 2009

Piala dekan...kafu

Mu'min yang kuat (sihat) lebih disukai Allah dari mu'min yang lemah.

Hujung minggu yang best betul. Semua acara sukan dikumpul. Dari bola sepak, futsal, badminton...eh banyak lagilah. Penulis pun main juga. Tapi, malangnya setakat separuh jalan saja. Suku akhir.

Bersukan dapat sihatkan tubuh badan. Memang dalam Islam pun digalakkan beriadah. Nabi pesan:

Dan ajarlah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan berenang.

Ini antara contoh riadah masa zaman Nabi, tapi kita sekarang mungkin sudah ada banyak jenis sukan yang dijadikan riadah. Sebagai contoh, acara-acara dalam piala dekan chest 09 dan karnival futsal kk2. Kesihatan ini kan penting untuk menggalakkan kita menjalani pelbagai aktiviti. Termasuklah berda'wah. Da'ie zaman sekarang perlu intima'kan diri (boleh guna ayat ni ke?) atau melibatkan diri dengan orang-orang lain seperti bersukan, bersosial dan sebagainya. Tujuannya, supaya ukhwah lebih rapat. Bila ukhwah sudah rapat, da'wah pasti akan melekat. Melekat di mana? Di dalam hati sanubari mad'u kita.

Tapi sebagai mu'min, yang mengaku bahawa kita beriman dengan Allah dan Rasul. Bagaimana cara bersukan/ beriadah dengan betul. Supaya apa yang kita buat menjadi ibadah kepada Allah.

Pertama, sudah semestinya niat. Innama 'amalu binniat. Setiap amalan bermula dengan niat. Niat itu mesti kerana Allah. Baru jadi ibadah. Ini niat kerana nak menang, atau mungkin nak menunjuk skill masing-masing. Bagaimana nak dapat pahala. Tapi ingat, niat boleh dipaksa, bukan?

Kedua, penampilan diri. Bersukan mestilah mematuhi etika-etika dalam Islam yang telah ditetapkan. Kalau Islam suruh tutup aurat, tutuplah aurat. Jangan pakai seluar pendek. Sampai nampak lutut hingga ke peha. Bukankah semua sudah tahu takat aurat masing. Lelaki;pusat hingga lutut. Diulangi, pusat hingga lutut. Payah sangat ke nak tutup lutut? Perempuan; semua kecuali muka dan dua tapak tangan( depan belakang ). Ini pun takkan tak tahu lagi.



Kalau betul tak tahu, pergi mengaji masa kelas fardhu ain. Setiap hari Rabu, pukul 2.30 pm. Bukan kena bayar pun. Orang dah bagi percuma. Kita nak pergi belajar ilmu percuma pun payah. Ego sangat. Sudah rasa diri hebat. Perkara-perkara asas dalam Islam tak perlu ambil tahu lagi. Tak pun mungkin malu sebab takut dikatakan kurang pandai. Boleh ke kita bagi jawapan macam ni masa menghadap Tuhan besok-besok.




Cukuplah dua dulu perkara yang perlu dititikberatkan. Nanti kata berat sangat pula. Islam membebankanlah. Istiqamah dulu dengan perkara ini. Berubah itu mudah, istiqamah itu paling sukar.

Wednesday, February 18, 2009

Paksa niat...

"Hmm, penat betul sepanjang minggu ni. Banyak betul program. Ni sebab orang suruh handle je, kalau tidak, malas sebenarnya."

Terkadang penulis juga pernah mengalami situasi di atas. Atas kelemahan iman, niat kita terhadap kerja Islam sedikit berubah. Bukan sengaja pun. Bisikan tu datang secara tiba-tiba.

Teringat satu soalan yang diutarakan oleh seorang muslimin dalam tazkirah Maghrib satu hari tu, "Ustaz, macam mana nak tetapkan hati kita supaya niat tak terpesong? Yelah, sebagai contoh, kadang-kadang datang berjemaah di masjid ada sedikit rasa ingin menunjuk. Menunjuk pada kawan, pada orang dan mungkin pada muslimat."

Teringat pula satu kisah masa zaman nabi. Lebih kurang begini ceritanya. Seorang sahabat bertanya pada Rasulullah. Dia bercerita pada Nabi tentang keadaan imannya. "Kenapa ya Rasulullah, pernah aku merasa bahawa Islam itu salah. Allah itu tak wujud."
Nabi jawab, "Itu tandanya iman kamu meningkat naik."

Pelik kan kalau hati terdetik perkara yang bukan-bukan, tapi Nabi kata itu tandanya iman meningkat naik. Alasannya mudah saja. Detikan dalam hati itu berasal dari bisikan syaitan. Apabila iman kita meningkat naik, syaitan mula membisikkan perkara yang bukan-bukan tadi. Jadi, kalau kita pernah terdetik begitu, itu tandanya iman sedang meningkat. Dan cepat-cepat minta perlindungan dari Allah.

Berbalik pada persoalan pertama tadi. Jawapan ustaz mudah je. Begini lebih kurang. Awak pernah rasa menunjuk-nunjuk? Takpe, biarkan saja. Kalau dengan niat itu boleh buat kamu istiqamah datang masjid, teruskan. Lama-kelamaan, datang masjid menjadi kebiasaan. Niat itu pun senang nak ditinggalkan.

Dalam dua kisah yang penulis sebutkan tadi, ada satu persamaan. Berkenaan dengan niat. Iaitu paksa niat. Memaksa niat yang negatif menjadi positif.

Niat boleh dipaksa? Ya, tepat sekali. Niat memang boleh dipaksa. Secara analogi begini. Islam suruh ajar anak-anak solat pada umur 7 tahun. Sampai umur 10 tahun, tak solat juga, boleh dirotan. Kenapa? Supaya paksa dia bersolat. Kenapa paksa bersolat? Supaya dia biasa bersolat. Bila sudah biasa bersolat. Dia akan sendirinya bersolat tanpa paksaan. Begitu juga dengan kes tadi. Cuma perspektif yang berbeza.

Bila hati rasa ragu-ragu dengan Allah, paksa niat kita untuk kekalkan iman. Berlindung dengan Allah. Jangan biar bisikan syaitan mempengaruhi fikiran kita.

Bila hati terpesong niat dalam ibadat. Jadikan kepesongan itu untuk membiasakan diri kita beribadat. Bila sudah biasa beribadat, kan lebih mudah untuk menangani niat yang terpesong tadi.

Sunday, February 15, 2009

Menteri besar Perak.

Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Ia merupakan asas dan sumber kepada kuasa undang-undang, dan Raja-Raja telah bersumpah untuk mempertahankannya.

Menurut Perlembagaan, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sehinggalah beliau meletak jawatan atas kerelaannya, atau disingkirkan melalui undi tidak percaya menerusi persidangan dewan undangan negeri. Perlembagaan tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk menyingkirkannya melalui cara lain, termasuk melalui petisyen atau arahan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Dua prinsip perlu dijelaskan:

Pertama, kerajaan yang memerintah diasaskan menurut undang-undang dan prinsip yang terdapat dalam Perlembagaan. Inilah yang membezakan di antara kerajaan yang dibentuk secara sah dan yang dibentuk secara kekerasan melalui undang-undang rimba.

Kedua, kerajaan yang dibentuk secara sah menurut Perlembagaan memperolehi kuasanya daripada mandat yang diberikan rakyat, hanya melalui cara itu. Mandat diberikan oleh rakyat kerana kerajaan itu dibentuk menurut Perlembagaan, dan pemimpin-pemimpinnya mereka pilih melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Kita perlu menguji mandat ini secara berkala. Pada waktu-waktu penting seperti apabila sesebuah kerajaan akan dibentuk atau dibubarkan, Perlembagaan memperuntukkan kaedah ujian yang formal dan definitif untuk mengukur sejauh mana mandat rakyat diperolehi oleh kerajaan berkenaan.

Jadi, kita adakan pilihan raya untuk menguji sejauh mana sokongan di kalangan rakyat yang diperolehi oleh seseorang calon pimimpin. Persoalan dikemukakan dalam pilihan raya yan dikawal oleh undang-undang dan persetujuan yang mendahului masa.

Jika pilihan raya tidak diadakan, atau sekiranya pilihan raya itu diragui kebebasan dan keadilannya, maka persoalankeabsahan kepimpinan tidak dapat ditentukan.

Walau seramai mana pun orang berarak dan meneriakkan nama anda, semuanya itu tidak diambil kira. Anda perlu membuktikan bahawa anda mempunyai sokongan pengundi melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Sama juga, Perlembagaan menyediakan satu kaedah definitif untuk menguji sama ada seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri masih mempunyai majoriti di Dun atau Parlimen. Kita akan kemukakan undi tidak percaya di Dun atau Parlimen.

Apa yang akan diambil kira nanti ialah keputusan persidangan tersebut. Ia tidak mengambil kira sebanyak mana akuan bersumpah, peralihan sokongan, sidang media dan perisytiharan yang dibuat. Ia juga tidak mengambil kira berapa banyak bentuk pengiklanan, pameran, tarikan dan tenaga yang ditanggung bagi menghadapi persoalan tersebut.

Bagi menguji secara formal mandat kerajaan sekarang, sama ada di Perak, Sabah atau kerajaan Persekutuan, persoalan perlu dikemukakan kepada rakyat melalui pilihan raya negeri, atau menerusi persidangan melalui undi formal di dewan. Inilah ujian-ujian yang diambil kira dalam demokrasi berperlembagaan kita.

Inilah juga apa yang diertikan sebagai demokrasi berparlimen. Untuk menyingkir atau membentuk kerajaan melalui cara selain itu akan menyalahi Perlembagaan, melunturkan kuasa undang-undang dan berhadapan dengan risiko pembentukan kerajaan yang haram.

Pihak berkuasa yang sah hanya boleh ditubuhkan melalui kaedah demokratik seperti yang disebut oleh Perlembagaan. Kuasa yang sah dan betul berbeza sepenuhnya daripada kuasa buas yang boleh dibeli, jual atau dirampas menggunakan kekuatan.

harakahdaily.net

Antara telur ayam dan ayam...

Pada pendapat anda, yang mana wujud dulu, telur ayam atau ayam?



Persoalan seterusnya, yang mana perlu dahulu, usaha untuk mencari hidayah atau diberi hidayah untuk berusaha?

Bagaimana seseorang boleh mencari hidayah sedangkan dia sendiri tidak berusaha. Lebih malang, bagaimana nak dapat hidayah jika diri sendiri tidak sedar/tahu melakukan maksiat kepada Allah.

Seorang rakan berkata kepada penulis,"Kalau seorang fasiq (pendosa besar), dia tetap dalam keadaannya. Mana mungkin atas kesedaran sendiri dia akan berusaha mencari hidayah. Kalau pada orang yang sudah tahu atau sedar dengan kesilapan diri, memang usaha dulu, baru dapat hidayah. Jadi, yang mana lebih perlu dahulu, usaha atau hidayah?

Jawapan kepada ayam dan telur tadi, yang mana wujud dahulu ialah telur. Kenapa? Spesies-spesies, seperti haiwan dan tumbuhan yang ada saat ini, merupakan keturunan spesies-spesies yang telah ada sebelumnya, melalui perubahan yang terjadi sedikit demi sedikit, atau disebut dengan evolusi. Ayam dan burung-burung lain merupakan evolusi dari salah satu spesies dinosaur. Dalam jutaan tahun, bentuk fizikal spesies nenek moyang ayam berubah, dan makin mirip ayam yang kita temui sekarang. Tetapi namanya masih bukan ayam.

Misalnya kita namakan spesies terakhir yang menjadi ayam adalah 'nenek-si-ayam'. Haiwan ini sudah sangat mirip seperti ayam, dan dapat bertelur seperti ayam. Karena evolusi terjadi secara genetik, maka tidak ada haiwan 'nenek-si-ayam' yang berubah menjadi ayam. Namun dari telur-telur haiwan 'nenek-si-ayam' itu, menetaslah ayam-ayam yang pertama.

Jadi, jika yang dimaksudkan dengan telur ayam adalah telur yang jika ditetaskan menjadi ayam, maka telur ayam (iaitu telur yang dikeluarkan 'nenek-si-ayam' dan ditetaskan menjadi ayam) lebih dulu ada daripada ayam. Tetapi jika telur ayam didefinisikan sebagai telur yang dikeluarkan dari ayam, maka ayam lebih dulu ada daripada telur ayam, dan ayam pertama ini ditetaskan dari telur yang dinamai telur 'nenek-si-ayam'.

Faham?
Senang kata yang wujud dulu adalah telur.


Tapi tentang usaha dan hidayah, apa kata pembaca bagi pendapat sendiri.
Pembaca sekalian, ada pendapat?

Monday, February 9, 2009

Kekuatan rasional vs kekuatan emosi

Mengapa lelaki jadi ketua keluarga?
Mengapa hak talak diberi kepada lelaki?
Kenapa Allah mentakdirkan wanita yang mengandung, bukan lelaki?
Mengapa wanita boleh menyusukan anaknya, sedangkan lelaki tidak?

Kadang-kadang persoalan ini timbul dalam hati manusia. Pelik bukan? Terkadang kita merasa tidak adilnya ciptaan Allah ini. Tidak adilnya takdir Allah ini. Sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Bijaksana. Betapa tidak bersyukurnya manusia.

Apabila Allah SWT mencipta Adam itu, Allah sudah mengatur ketetapan bagi Adam. Allah ciptakan Hawa untuk Adam. Allah sudah aturkan yang Adam akan turun ke dunia sebagai khalifah di muka bumi. Dan ketika itu juga Allah sudah tahu bahawa persoalan-persoalan ini akan timbul.

Sesungguhnya pada diri setiap manusia itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Allah SWT yang Maha Bijaksana telah kurniakan dua kekuatan yang berlainan kepada lelaki dan wanita; iaitu kekuatan rasional dan kekuatan emosi.


Kekuatan rasional vs kekuatan emosi

Mengapa ye perempuan yang kena mengandung, bukan lelaki? Yalah, lelaki itu pada amnya mempunyai kekuatan fizikal yang lebih dari wanita. Wanita ini katanya kaum yang lemah. Adakah Allah tidak bersimpati terhadap golongan yang lemah ini? Cuba kita renung sejenak. Andainyalah, lelaki yang mengandung. Penulis rasa sampai 3 bulan saja boleh bertahan. Kemudian mulalah mencarut tentang perutnya. Alasannya tidak tahan dengan beban tersebut. Loyanya lagi.

Sebab apa ini terjadi? Sebabnya, kekuatan yang diperlukan untuk bertahan selama 9 bulan 10 hari itu, bukanlah kekuatan fizikal. Justeru kekuatan apa yang diperlukan? Inilah yang dinamakan kekuatan emosi. Yang hanya ada pada wanita. Wanita ini Allah kurniakan dengan sifat sabar, kasih sayang dan sebagainya. Kerana itulah wanita mampu bertahan 9 bulan 10 hari mengusung kandungan bersamanya. Kerana itu jugalah Allah jadikan wanita yang mengandung, yang melahirkan anak.

Tapi Allah tidak tinggalkan wanita begitu saja. Allah berikan lagi ganjaran ke atas kesanggupan wanita yang mengandung dan melahirkan. Semasa mengandung, setiap sakit yang dirasai, terhapus dosa kecil ke atasnya. Semasa melahirkan, setiap sakit itu menghapuskan pula dosa besar. Yang paling mulia, wanita mendapat syahid sekiranya meninggal dunia sewaktu melahirkan anak.

Lalu, apa itu kekuatan rasional? Ustaz Hasrizal, dalam slot semasa BDK 09 baru-baru ini, katanya, bayangkan pada suatu hari, dia dikehendaki memberi pengisian tentang Keluarga Bahagia. Tapi sebelum ke program itu, dia ada terguris hati apabila bertentangan pendapat dengan zaujahnya, Ummu Saif. Secara logiknya, bagaimana beliau hendak menerangkan tentang keluarga bahagia sekiranya beliau sendiri ada masalah dengan keluarganya. Nah, inilah perlunya kekuatan rasional. Jika beliau rasional, beliau mampu menyampaikan pengisian dengan baik tanpa terpengaruh dengan masalah keluarganya.

Begitu juga dengan hak talak pada lelaki. Kerana lelaki sukar dipengaruhi oleh emosi. Jadi, talak memerlukan pemikiran yang benar-benar rasional. Bayangkan kalau wanita boleh talakkan suaminya. Rasanya, meningkatlah kes cerai di Malaysia ini. Pening kepala pegawai agama jadinya.

Lelaki = 9 kekuatan rasional + 1 kekuatan emosi
Wanita = 9 kekuatan emosi + 1 kekuatan rasional

Siapa lagi kuat?

Lelaki + wanita = saling melengkapi antara satu sama lain.


Ibaratnya kalau kepingan puzzle itu tidak lengkap kalau salah satu darinya hilang. Nak jadi gambar apa jikalau begitu rupa.

Udah ghupe itu ye?!

Bengkel Dakwah 09

Alhamdulillah, tanggal 7 - 8 Feb 2009, Pusat Islam & Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang dengan kerjasama Sahabat Masjid (SAHAM), telah berjaya menganjurkan program Bengkel Dakwah Kampus 09; BDK 09. Dengan temanya, "kami peduli Ummah".

BDK 09 ini menyaksikan pelbagai kumpulan dakwah di kampus, UMP terutamanya dan sekitar Kuantan berkumpul dalam mendapatkan ilmu tentang bagaimana untuk berdakwah di kampus mengikut peredaran zaman. Dengan matlamat yang satu, iaitu mencari keredhaan Allah, semua kumpulan dakwah ini mendapat input yang begitu berguna untuk kita amal dan hayati supaya risalah dakwah ini dapat disebarkan dengan meluas.

Antara input yang paling bermanfaat yang penulis dapat semasa slot bersama Ustaz Hasrizal b Abd Jamil, dengan tajuknya Rebranding Dakwah. Pengisian dari Ustaz Hasrizal ini telah mengubah pendapat ataupun cara fikir daie di kampus ini. Di mana untuk rebrand dakwah ini, daie tersebut perlu rebrand diri terlebih dahulu. Daie perlu ubah cara mendekati mad'u dengan lebih bersikap terbuka.

Manakala semasa slot Ustaz Mohamad Hazmi b Dibok yang bertajuk Menangani Kepelbagaian Kumpulan Dakwah di Kampus, beliau menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan dakwah ini sebenarnya telah jauh dari matlamat asal sebenar mereka dengan bersaing antara sesama kumpulan dakwah. Sehinggakan sampai di satu tahap, persengketaan berlaku antara sesama kumpulan dakwah yang berlainan dan seterusnya melupakan orang yang patut didakwah atau mad'u. Sebagai solusi, kumpulan dakwah yang pelbagai ini perlu bersatu untuk membentuk satu gerak kerja dakwah yang baru. Jika cara ini tidak dipersetujui, cukuplah untuk tidak berbalah sesama kumpulan dakwah.

Saya teringat satu soalan dari seorang peserta yang bertanya tentang bagaimana hendak me'maintain'kan motivasi dalam diri. Jawapan yang diberi ustaz itu sudah cukup untuk menjadi amalan sebenarnya, iaitu dengan sentiasa dekatkan diri dengan program berbentuk tarbiyyah. Tapi, penulis sendiri ada satu pendapat yang mungkin boleh menjadi tambahan.


Motivasi Pagi

Untuk mengekalkan motivasi, usaha perlu dilakukan berterusan dari hari ke hari. Dan waktu yang paling optimum untuk memotivasikan diri ialah pada waktu pagi. Kenapa? Sebab waktu pagi, otak dan badan kita baru dapat rehat. Jadi, pada waktu ini, nilai positif mudah dibina sebagai persedian menempuh perjalanan pada hari itu. Jadi, wajarlah tips ini kita panggil Motivasi Pagi. Bukan rancangan TV3 pada awal pagi tu ye.

1. Bersyukur, bersyukur dan bersyukur.
Bersyukur kerana masih diberi kesempatan nyawa, kesihatan tubuh badan. Yang paling penting, bersyukur atas nikmat iman dan islam yang kita ada.

2. Tekad bermotivasi.
Pasangkan niat untuk bermotivasi pada hari tersebut. Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.

3. Dekatkan diri dengan sesi motivasi.
Dengar nasihat pada televisyen, radio dan sebagainya. Susah-susah sangat, pergi masjid dan dengar tazkirah subuh. Itu yang sebaik-baik sesi motivasi.

4. Mulakan dengan Basmalllah.
Sebagai Muslim, Allah adalah segalanya bagi kita. Dan dalam melakukan apa-apa aktiviti perlulah kerana Allah. Supaya mendapat keberkatan dalam pekerjaan tersebut.

5. Set kemajuan diri.
Tetapkan apa yang hendak dicapai pada hari tersebut. Tapi, jangan fikir masalah yang akan timbul dalam usaha mencapai target hari itu. Sebab ini umpama meneutralkan cas positif dalam diri.

6. Lihat warna cerah.
Warna mempengaruhi mood seseorang. Seelok-eloknya, warna yang baik dilihat pada waktu pagi ialah merah, kuning atau hijau. Tengok pemandangan hutan di tepi UMP pun sudah memadai. Di samping dapat menghayati keindahan dan kekuasaan ciptaan Allah.

7. Maafkan orang lain.
Kesalahan semalam merupakan satu sejarah. Kita tidak akan dapat mengubah kesalahan tersebut. Yang penting, jadikan ia sebagai satu pengajaran di hari mendatang. Ini juga merupakan satu sunnah yang perlu kita contohi dari Nabi Muhammad SAW.


Cukuplah 7 tips yang boleh diamal supaya kita dapat mengekalkan motivasi dalam diri. Pokoknya, usaha kita ini perlu berterusan. InsyaAllah, anda akan lihat hasilnya. Maaf, tajuk tidak berkaitan dengan artikel.

Saturday, February 7, 2009

Beritahu pada muslimah


Beritahu pada muslimah itu
dirinya ibarat kaca;
disentuh terguris,
dihantuk serpih,
dihempap berkecai.

Beritahu pada muslimah itu
jaga tutur kata;
cakap tinggi nanti dibenci,
terlalu rendah dipijak pula,
cakap sombong mengundang lawan,
hati-hati meluah kata,
kerana pulut santan binasa,
kerana mulut badan binasa.

Beritahu pada muslimah itu
jaga tingkah laku;
harga diri letaknya di situ,
jangan meluru ikut telunjuk nafsu,
sesekali tersilap langkah,
akan dihukum selamanya,
keturunan dicerca payah,
menyesal kemudian bukan faedah.

Beritahu pada muslimah itu
jaga pakaian;
ia cermin peribadi,
juga lambang bangsa,
di mana dan dalam keadaan macam manapun,
biar orang kenal...Dia orang ISLAM.

Beritahu pada muslimah itu
simpan secebis malu;
kerana malu itu,
sebahagian dari iman...

dipetik dari:
iluvislam.com

Thursday, February 5, 2009

Indahnya hidayah...(part 4)

Pagi itu riuh dengan kicauan si burung pagi. Mentari malu-malu menampakkan diri, menyebabkan cuaca agak mendung. Tiada kelibat manusia yang kelam kabut untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Semuanya tenang. Sesekali terdengar deruman enjin lori sampah yang menjalankan tugasnya. Pagi begini memang sudah menjadi lumrah hujung minggu. Suasana sejuk lantaran hujan yang turun sehingga awal pagi tadi menyebabkan seluruh tubuh badan menjadi malas.

Yasser masih di atas katilnya. Masih berselubung dalam selimut bagai hantu bungkus. Walaupun sudah tersedar dari tidur, Yasser masih tidak berganjak dari atas katilnya. Aktiviti semalam sungguh memenatkan. Pertelagahan antara Street 69 dan Rimau Putih untuk merebut kawasan sudah menjadi masalah serius.

Dia teringat bagaimana pergaduhan itu boleh bermula. Ketika itu semua ahli Street 69 sedang berkumpul di Restoran Tupai. Tiba-tiba mereka didatangi ahli kumpulan Rimau Putih. Ketuanya, Mael siap bercekak pinggang di hadapannya.

“Woi, keparat. Kau jangan main anjing dengan aku. Orang kau kacau bisnes aku. Kau nak aku sumbat mulut orang kau dengan tahi anjing ke?” Tangannya memegang buku lima besi. Mukanya yang kelihatan begitu berang.

“Wow, wow. Ada orang obses dengan anjing di sini. Hai saudara, kalau nak main dengan anjing, pergi main jauh. Najis berat tu. Kena samak nanti.” Kata-kata Yasser disambut dengan derai tawa ahli-ahlinya. “Kau takpelah. Dah jadi saudara mara anjing. Tak kena samak.”

Pertengkaran mulut itu akhirnya membawa kepada pergaduhan. Yasser yang ketika itu memegang botol arak, menjadikannnya sebagai senjata. Dalam keadaan marah yang memuncak, semua fikiran sudah tidak waras. Syaitan pun mencucuk-cucuk lagi. Entah bila masa, Yasser sendiri pun tidak perasan, botol arak yang digunakannya sebagai senjata telah tertikam perut Mael.

Yasser yang telah hilang kawalan itu sendiri tergamam dengan tindakannya. Tanpa membuang masa, mereka semua melarikan diri mengikut pintu belakang. Ahli Rimau Putih kelam kabut untuk menyelamatkan nyawa ketua mereka.

Yasser sendiri tidak tahu bagaimana nasib ketua kumpulan Rimau Putih. Sudah matikah dia. Lamunan Yasser dikejutkan oleh bunyi ketukan pintu.

“Assalamualaikum.” Pintu rumah itu diketuk beberapa kali.

“Assalamualaikum.” Kali ini lebih kuat.

Berkeriuk bunyi pintu rumah apabila dibuka. “Hmm, ada apa datang tengah hari ni,” tanya Yasser sambil memandang dua orang pemuda di hadapannya. Digonyoh kedua matanya dengan tangan.

“Encik ni, Yasser Salam bin Datuk Kamal Asri ke?” tanya pemuda yang memakai baju t berwarna hijau. Di tangannya memegang sekeping fail berwarna coklat.

“Yasser tu aku. Tapi Datuk Kamal Asri dah tak jadi bapak aku,” jawab Yasser, kasar. Sebenarnya dia tidak suka apabila nama Datuk Kamal Asri disebut. Meluat dan menyampah dengan nama itu.

“Begini encik Yasser. Saya Ins. Jalal dari Balai Polis Simpang,” terang pemuda tadi. “Dan ini anak buah saya Lans Kop. Rosli. Ini kad kuasa kami,” sambungnya lagi sambil mengunjukkan ibu jari ke arah pemuda yang memakai kemeja t berwarna merah. Misainya yang tebal dan melentik ke atas membuatkan dia kelihatan agak tua.

Reaksi Yasser serta merta berubah apabila terdengar perkataan Ins. dan Lans Kop. Raut wajah yang tadinya selamba bertukar. Dia cuba mengawal dirinya supaya tindak balas dirinya tidak dikesan.

“Ada apa datang sini?”. Yasser berdehem beberapa kali.

“Kami datang untuk memaklumkan tentang kematian Datuk Kamal Asri semasa mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Sebelum Datuk berangkat ke sana, Datuk berpesan supaya encik Yasser mesti ditemui dalam apa cara sekalipun,” terang Lans Kop Rosli.

“Sebelum ini, Datuk Kamal Asri tidak pernah hentikan usaha untuk mencari encik Yasser sehingga terpaksa mengupah penyiasat persendirian. Malangnya, nasib tidak menyebelahi Datuk. Kami dapat maklumat tentang encik Yasser ini pun, setelah mengumpul data hasil siasatan penyiasat persendirian Datuk.”

“Sebenarnya begini. Saya dan Datuk Kamal Asri dah tiada hubungan. Jadi, kalau ada apa-apa berlaku pada dia, saya tak mahu masuk campur.” Jauh di lubuk hati Yasser, dia merasa lega kerana polis yang datang ke rumahnya pagi itu bukan kerana kes semalam.

“Beginilah encik Yasser. Kami diamanahkan untuk member fail ini kepada encik. Kalau ada masalah selepas ini, boleh terus menghubungi kami.” Ins. Jalal lantas menyerahkan fail berwarna coklat itu yang dipegangnya sejak dari tadi. “Baiklah, kami beransur dulu.” Ins. Jalal dan Lans Kop Rosli terus meminta diri.

Yasser mengekori bayangan mereka dengan matanya. Dia masih terpinga-pinga. Seribu persoalan menerjah kotak fikirannya. Lantas, matanya tertancap pada fail berwarna coklat itu. Hatinya tak sabar-sabar untuk mengetahui isi kandungan fail itu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Lagu R.A.D.I.O nyanyian System of a Down yang diset sebagai ringtone bagai menjerit-jerit menyuruhnya menjawab panggilan itu. Diletakkan fail itu di atas meja makan lalu bergegas untuk menjawab panggilan telefon. (bersambung...)

Wednesday, February 4, 2009

Promosi...mesti baca

Adalah dimaklumkan,pihak pengurusan tertinggi Kelab Hiburan membuka peluang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam acara hiburan, terutamanya tarian. Sebagai ganjaran, wanita yang terlibat akan menerima keahlian automatik sebagai penghuni neraka secara percuma bersama kami.

Oleh yang demikian, Kelab Hiburan sedang mencari penari-penari wanita yang berbakat untuk menjadi ahli kumpulan. Keutamaan diberi kepada mereka yang mempunyai perwatakan menarik, ada bakat dalam melenggokkan badan dan mampu menaikkan nafsu penonton. Yang tiada salah satu ciri di atas, tidak mengapa. Kami akan cuba membantu dan melatih anda supaya menjadi ahli neraka yang professional.

Kumpulan ini diperlukan dalam acara-acara rasmi, supaya pintu kemaksiatan boleh terbuka luas. Ini dapat memudahkan kerja-kerja pegawai penggoda kami, syaitan untuk menjalankan tugas untuk mempromosi neraka.

Selain itu, kumpulan ini berpeluang melibatkan diri dalam pertandingan sehingga bertaraf kebangsaan supaya peluang keahlian neraka dapat dibuka secara maksimum. Terutamanya kepada wanita.

Cepat sebelum terlambat. Kepada wanita di luar sana, jangan lepaskan peluang ini untuk sama-sama mendapat ganjaran berupa seksaan di akhirat kelak. Antaranya ialah, diseret dengan rantai, digodam dengan cemeti, suntikan bisa kala jengking dan ular serta banyak lagi. Anda juga bakal mendapat pembantu peribadi percuma iaitu malaikat zabaniyyah yang akan menemani anda di dalam neraka.

Oleh yang demikian,pohon kepada yang berminat,sila daftarkan diri di Kelab Hiburan.

Pegawai Unit Godaan:
Iblis, atau

Ketua Kumpulan Kelab Hiburan:
Nafsu

Penyertaan terdekat amat diperlukan untuk memastikan anda salah seorang penghuni neraka. Mari sertai kami!

Sekian,
Yang Mengikut Hawa Nafsu

Monday, February 2, 2009

Simpati vs Sokongan

Petang tadi, penulis berjumpa dengan seorang pegawai dari jabatan bendahari UMP, en Ramli untuk bertanya tentang status PTPTN penulis yang tak masuk lagi bakinya. Bila dikaji dan diteliti, nama penulis tiada dalam senarai PTPTN untuk sem ini!

Perkara yang pertama terlintas, "Ya Allah, ujian lagi." Beban yang sebelum ini terasa semakin ringan, tiba-tiba penulis rasa bagai dihempap batu besar. Urusan seterusnya dengan HEP, tapi pegawai berkenaan pula tiada. Hmm, tunggu lagi.

“Patutkah mereka menyangka bahawa , mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)” (Al-Ankabut:2)

Nasib baik ada penerangan dari Allah siap-siap tentang ujian yang ditempuh oleh hambaNya.

Ya Allah, kami ditimpa ujian dan kami beriman. Maka terimalah amalan kami.


Adakah dengan meluah perasaan, seseorang itu dikatakan meminta simpati? Adakah perlu seseorang itu bersimpati apabila orang lain meluahkan masalah kepadanya?

Sesetengah orang memang sentiasa mahu disimpati supaya orang lain mudah bertolak ansur dengannya. Tapi bukan semua begitu. Simpati hanya perlu apabila orang meminta bantuan, supaya dapat bantuan tersebut. Meluah perasaan tidak semestinya meminta bantuan.

Penulis sendiri ada pengalaman tentang meluah perasaan. Bukan perasaan suka atau apa yang mengarut, cuma meluah masalah yang kita hadapi. Ini salah satu cara untuk meredakan tekanan. Memang tiada penyelesaian dengan hanya meluah perasaan. Tapi ini penting untuk memastikan akal kita masih waras dan rasional dalam menghadapi ujian itu.

Si pendengar pula, cuba kurangkan memberi jalan penyelesaian. Kerana bukan itu yang dipinta oleh orang yang meluah perasaan. Mereka hanya cuma mahu seoarang pendengar, bukan seorang pemberi jalan penyelesaian. Cukup dengan mengangguk dan berkata, "Ya". Ini sudah dapat meredakan serba sedikit bebanan mereka. Yang paling penting, jangan terlalu menaruh simpati. Ada di antara mereka yang tidak mahukan simpati. Di akhir perbicaraan, boleh tanya, "Adakah anda mahu bantuan dari saya?"

Kalau ya jawapannya, bantulah sedaya upaya. Jika tidak, cukuplah bagi sokongan moral. Bukan simpati.